First Journey: Simbol vs Nilai

Sunday 19 August 2012

Simbol vs Nilai


Sebelum memulakan tulisan kali ini, barangkali ada baiknya kita menelaah dahulu puisi berharga daripada W.S Rendra :

“Dasar pendidikan kita adalah kepatuhan.

Bukan pertukaran pikiran.

Ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,


dan bukan ilmu latihan menguraikan.”

Simbol

Di Malaysia, selepas keputusan SPM diumumkan, akan berlaku kemenangan simbol atas nilai. Sebagaimana Firaun membina simbol Piramid sebagai lambang keabadiannya sebagai tuhan (supaya manusia selepas terus menyembahnya), manusia-manusia moden yang menyembah simbol A akan memuja-muji budak-budak SPM yang sijilnya penuh dengan A.

Pihak sekolah akan berbangga sebab sekolah berpeluang naik taraf jadi SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi). Pengetua tersenyum lebar sebab akan naik pangkat dengan kejayaan sekolah dan, kalau nasib baik, dapat gelaran ‘pengetua cemerlang’. Akhbar akan menempatkan muka hadapan ‘pelajar-pelajar cemerlang SPM’. Ibu bapa tumpang sekaki seronok.

Ini realiti hari ini, simbol A menjadi lebih agung berbanding nilai ilmu yang dikutip sepanjang sekolah. Apakah bilangan A itu menyebabkan proses kita menjadi manusia yang lebih baik? Mungkin kita sudah mula lupa dengan kisah Amalina yang cemerlang dalam sistem peperiksaan tapi melupakan tudung yang pernah dipakai? Ahh, tak heran setakat buka tudung–Sufiah lagi genius, akhirnya pelacur.

Cemerlang dalam peperiksaan tapi miskin nilai diri. Ini menunjukkan kepada kita kejayaan sains positivisme menguasai masyarakat hingga akhirnya membentuk masyarakat rasional instrumental (dikenali juga sebagai rasional tujuan).

Maknanya kat sini...


Apa bendanya positivisme dan rasional instrumental tu?

Sejarah ringkas untuk menerangkan dua istilah ini: Sewaktu Eropah bercita-cita mahu menuju kepada Pencerahan, pada masa inilah rasional diangkat. Pada waktu Pencerahan, pekikan ‘Sapere Aude’ bergema kuat, nyaring. Atas nama pengetahuan, Pencerahan ghairah mahu membebaskan dunia dari kuasa yang tidak terlihat (yakni kuasa yang tidak menepati hukum rasional-positivisme).

Pada masa inilah, manusia mula mengunakan kata ‘tuan ke atas diri sendiri’, secara tak langsung, menjadikan diri sebagai ‘subjek’ dan alam sekeliling sebagai ‘objek’. Manusia menakluki alam, menentukan takdir sendiri, tidak takut lagi dengan cabaran sekeliling dan alam (objek) mula menjadi tujuan buat manusia.

Mudahnya, rasional instrumental atau rasional tujuan ini menjadikan sesuatu objek sebagai tujuan dengan cara yang kelihatan rasional.

Bila manusia meletakkan diri sebagai subjek, maka rahsia alam mula disingkap. Air, hutan, pokok, udara, api haiwan dikaji diperhati dan dicerap. Kebenaran dinilai dengan bukti rasional dan hasil empirikal (pemboleh ubah yang kita pelajari dalam sains). Semua kajian saintifik mesti dibenarkan dengan bukti rasional dan empiris.

Maka di sini lahirlah sains tabie yang mengkelaskan fizik, kimia, biologi kepada satu bahagian dan bahagian keduanya adalah sains sosial yang mengamati tingkah laku dan budaya manusia. Pemisahan inilah yang dilakukan oleh pisau Positivisme.

Malangnya, golongan positivistik ini tidak mau terhenti setakat menggunakan bukti empirikal terhadap alam, tetapi terhadap manusia. Wilayah rohani dan budaya dicemari apabila kenyataan, kebenaran, dibuktikan dengan bukti empirikal. Metodologi sains diguna pakai untuk menentukan hikmah-hikmah dalam agama, perasaan, moral dan sebagainya telah menghilangkan nilai aura manusia itu sendiri.

Ape nilai dia ?

Cubalah kaitkan dengan keadaan sistem peperiksaan Malaysia. Pelajar kelihatan bersungguh-sungguh belajar untuk dapat keputusan cemerlang, dengan mengabaikan potensi diri sebenar.

Pada masa inilah kelihatannya rasional ‘belajar bersungguh-sungguh’ untuk mencapai tujuan ‘berjaya dalam hidup’. Kita di sekolah terus menghafal fakta-fakta yang hendak ditulis dalam kertas peperiksaan. Pelajar mencapai tujuan dengan bukti empirikal melalui sijil peperiksaan yang berderet simbol A sedangkan lepas peperiksaan terus lupa apa yang dipelajari.

Simbol tak lebih sekadar simbol–hanya dapat A dalam Pendidikan Islam, tapi hormat orang tua pun tak reti. Cikgu pula berusaha menghabiskan sukatan pelajaran supaya pelajar cemerlang peperiksaan.

Ini bukan generalisasi. Tak nafikan masih ada para guru yang ikhlas dalam mengajar, tapi selagi mana kita masih berada dalam sistem ini, selagi itulah kitaran pembodohan yang membekukan fikiran rakyat, tereutamanya kalangan Muslim, terus berjalan.

Banyak A dalam SPM tak menentukan kita boleh survive hidup dalam kehidupan hari ini. Apa yang diperlukan adalah skill kehidupan, bukan sejumlah A.

Ape pulak hakikat dia ?

Jadi, apa tujuannya kita melalui sistem peperiksaan dan diberi ‘hadiah A’? Sejak Tun Mahathir Mohamd memahkotakan simbol moden bagi Malaysia, dengan target Wawasan 2020, maka keserakahan kapitalis tanpa nilai terus menjadi-jadi.

Universiti dibina semakin banyak, bukan dengan tujuan menyuburkan ilmu yang bebas nilai, tetapi supaya lepasan SPM masuk ke universiti (yang perlu dengan gred SPM yang baik, dahulunya) belajar teknik-teknik untuk memenuhi permintaan industri-industri kapitalis.

Kemudian kita masuk universiti, kita terus belajar untuk mengaut CGPA yang baik. Keinginan untuk mendapatkan simbol-simbol yang ‘cemerlang’ terus melampaui makna dengan alasan simbol ini dapat memastikan mendapat pekerjaan yang baik.

Universiti mesti dipastikan supaya mendapat penarafan yang baik, bukan kualiti pengetahuan yang lahir. Di sinilah hilangnya nilai kritis dalam diri kita. Kita jarang dapat menghasilkan inovasi yang baru sebab terbeban dengan silibus.

Malah, kita tak dapat mempersoalkan apa yang kita pelajari kerana sibuknya kita dengan nota-nota kuliah. Kesannya, (maha)siswa yang dilahirkan hanya untuk memenuhi kehendak pasaran dan kehendak negara, jauh dari aspirasi rakyat marhaen.

Malang bagi kita, positivisme yang melahirkan masyarakat rasional instrumental berhubungan terus dengan ideologi negara menjadikan kita sebagai alat kapitalis moden. Kita hidup untuk memuaskan keserakahan industrial.

Maka diakhiri tulisan ini dengan menyertakan fakta-fakta di bawah :

- Lebih 50% CEO kepada 500 syarikat dalam senarai Fortune sering mendapat C semasa di kolej.

- 65% daripada seluruh ahli senat Amerika adalah mereka yang sering mendapat kelas pertengahan dan ke bawah ketika di sekolah.

- 75% daripada Presiden-presiden Amerika mempunyai rekod akademik yang buruk.

- Lebih 50% usahawan jutawan tidak menamatkan pengajian di universiti.

Jadi, sudah jelas atau setidak-tidaknya cerah sedikit untuk membezakan di antara simbol dan nilai.


#pic result tu kawan aku punya . Ahmad Shahril nama dia . Hehe.

No comments: